Sepang: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas bunga ros segar seberat 46 kilogram (kg) yang diimport tanpa permit dalam pemeriksaan di FCZ Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
AKPS KLIA dalam kenyataan memaklumkan, rampasan dilakukan melalui Bahagian Pemeriksaan Barangan selepas mendapati produk tiada Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
"Rampasan melibatkan satu konsainan yang dibuat pada 1.00 tengah hari semalam dan hasil semakan mendapati ia bunga ros segar yang diimport dari India tanpa kebenaran dan permit sah MAQIS.
"Sebanyak tiga kotak bunga ros segar dengan berat keseluruhan 46kg dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya.
-- HARIAN METRO