Skip to main content

Wanita Thai cuba seludup kokain RM2 juta dalam anak patung ditahan di KLIA

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis kokain oleh seorang penumpang wanita warga Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

AKPS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, cubaan tersebut dikesan pukul 7.10 pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA Terminal 1, ketika pemeriksaan rutin mesin pengimbas bagasi dilakukan terhadap penumpang penerbangan Turkish Airlines dari Istanbul, Turkiye.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemuikan dua buah anak patung yang diubah suai, mengandungi bungkusan padat disyaki dadah jenis kokain.

“Anggaran berat dadah tersebut adalah 9.25 kilogram, dengan nilai dianggarkan antara RM1.8 juta hingga RM2 juta.

“Suspek telah ditahan dan diserahkan kepada pihak JKDM untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, AKPS KLIA kekal komited memperkukuh keselamatan negara melalui kawalan sempadan yang efektif, operasi bersepadu, pemantauan berterusan serta kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain bagi mengekang sebarang bentuk penyeludupan dan ancaman rentas sempadan. – MalaysiaGazette