Skip to main content

Visi besar AKPS martabatkan kedaulatan negara - Shuhaily

Putrajaya: Kejayaan sebenar kawalan sempadan negara bukan diukur semata-mata menerusi kecanggihan teknologi, tetapi apabila pelawat asing timbul rasa gerun dan hormat terhadap undang-undang Malaysia sebaik sahaja menjejakkan kaki di pintu masuk.

Itu visi jelas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang mahu menterjemahkan makna 'kedaulatan negara' melalui disiplin dan ketegasan pegawai di barisan hadapan, setaraf dengan piawaian antarabangsa.

"Bagi saya, kedaulatan itu timbul apabila orang ada rasa hormat di pintu masuk sesebuah negara. Jika mereka masuk dan rasa 'Oh, negara ini ada undang-undang', maka mereka akan hormat.

"Belum sampai lagi (di kaunter), mereka sudah tahu negara ini ada undang-undang dan terpaksa hormat. Inilah aspirasi saya untuk wujudkan agensi yang disegani," katanya dalam sesi temubual eksklusif bersama wartawan Media Prima, di sini, semalam.

Dalam usaha mencapai standard itu, Mohd Shuhaily turut menegur sikap segelintir rakyat Malaysia yang menganggap pemeriksaan ketat di sempadan hanya terpakai kepada warga asing, tetapi mengharapkan kelonggaran apabila melibatkan diri sendiri.

Katanya, rasa hormat kepada undang-undang negara perlu bermula dari rakyat tempatan sendiri sebelum boleh menuntut penghormatan daripada orang luar.

"Hormat itu juga harus wujud daripada rakyat kita sendiri. Kalau rakyat kita sendiri tak boleh hormat undang-undang, susah. Jadi 'double standard' pula nanti.

"Bila warga asing nak seludup, kita periksa. Bila warganegara sendiri nak seludup, tak payah periksa? Tak boleh macam tu. Pemeriksaan mesti menyeluruh," katanya.

Mengambil contoh Australian Border Force (ABF) sebagai penanda aras, beliau berkongsi kekaguman bagaimana ketegasan agensi negara itu berjaya membentuk tingkah laku pelawat tanpa perlu amaran lisan yang banyak.

"Bila kita pergi Australia, kita sendiri rasa takut nak bawa masuk barang. Sampai kita risau tengok tapak kasut ada tanah atau tidak, sebab undang-undang mereka sangat ketat (biosekuriti).

"Tak payah bagi amaran pun kita sendiri dah takut. Kalau Malaysia boleh capai tahap di mana orang datang dan hormat macam itu, saya rasa saya dah capai apa yang saya mahukan," katanya.

Mengulas berhubung cabaran di lapangan, Mohd Shuhaily mendedahkan tugas AKPS bukan sekadar menahan penyeludupan dadah atau senjata, tetapi 'perang' harian melawan kemasukan barangan pelik yang boleh mengancam biosekuriti dan kesihatan rakyat.

"Hari-hari berlaku penyeludupan kura-kura, ungka, ular, malah daging ayam dan babi dalam bagasi. Kura-kura diletakkan dalam beg berjam-jam lamanya. Dulu saya di jabatan lama (JSJ) buru dadah, sekarang saya 'buru' tenggiling.

"Di bahagian farmasi pula, pegawai kita yang tak sampai 20 orang di KLIA terpaksa periksa lambakan ubat-ubatan yang dibeli dalam talian. Macam-macam jenis—'ubat takut', 'ubat berani', 'ubat kuat', ubat hitam rambut—semua ada," katanya.

Walaupun menyedari AKPS masih 'budak baru' (new boys in the block) dan memerlukan masa untuk matang, Mohd Shuhaily meletakkan sasaran peribadi yang tinggi sebelum menamatkan perkhidmatannya.

Beliau berhasrat untuk meninggalkan sebuah agensi yang bukan sahaja digeruni musuh, tetapi dipercayai oleh rakyat Malaysia.

"Inilah cita-cita saya. Kalau saya mampu menzahirkan sebuah agensi yang disegani dan dihormati, saya rasa kalau saya mati pun, saya akan mati dengan mata tertutup (tenang)," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO