Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 ketika mempengerusikan Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Bilangan 4 Tahun 2024, di Parlimen Malaysia pada 2 Disember 2024 telah memberikan amanat kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) untuk mengambil alih pentadbiran 22 pintu masuk negara yang tersenarai didalam Jadual Pertama dibawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860] yang telah diwartakan pada 17 Oktober 2024.
Kompleks ICQS Rantau Panjang telah dipilih sebagai pintu masuk pertama untuk operasi rintis kerana lokasinya yang strategik dan antara pintu masuk utama menghubungkan sempadan dua negara iaitu Malaysia dan Thailand. Pengoperasian rintis AKPS yang dilaksanakan adalah langkah pertama pengoperasian AKPS dan juga untuk mengenal pasti menangani isu-isu kritikal dengan lebih teliti yang boleh diperbaiki sebelum pelaksanaan penuh pengoperasian AKPS bagi 21 lagi pintu masuk yang tersenarai di Jadual Pertama Akta 860.
Pelaksanaan pengoperasian rintis ini, bukan sahaja memenuhi aspirasi Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024, iaitu Penetapan Dasar Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia / Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA) tetapi juga membawa perubahan yang signifikan kepada sistem kawalan pintu masuk sempadan negara yang disarankan oleh World Trade Order (WTO) dan World Custom Organisation (WCO).
AKPS adalah cerminan komitmen Kerajaan Madani di bawah kluster Kemakmuran yang akan bertindak kearah Agensi Kerajaan tunggal di barisan hadapan yang beroperasi di pintu-pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang diwujudkan untuk menyelaraskan semua urusan pintu masuk sempadan negara, AKPS bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan. Agensi tunggal ini komited untuk memastikan integriti dan keberkesanan kawalan pintu masuk sempadan berada pada tahap tertinggi.